Tampilkan postingan dengan label Dunia. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Dunia. Tampilkan semua postingan

Minggu, 22 Juli 2012

Tentera Bashar bertempur di Damsyik, Syria


AMMAN - Para pemberontak bertempur dengan tentera Presiden Syria, Bashar Al-Assad (gambar) dekat sebuah ibu pejabat agensi perisikan di bandar Aleppo, utara negara itu semalam.

Menurut saksi-saksi, beberapa buah helikopter membedil beberapa daerah di Damsyik dalam usaha untuk mengusir para pemberontak.

Pertempuran berlaku di beberapa bahagian lain di Aleppo yang merupakan hab perdagangan dan industri.

"Bunyi letupan kedengaran dari beberapa tempat yang berbeza sehingga menggegarkan bandar raya itu.

"Satu pertempuran melibatkan insiden berbalas tembakan berlaku dekat Ibu Pejabat Keselamatan Negara di daerah al-Mouhafaza sejak waktu pagi," kata seorang suri rumah kepada agensi berita Reuters menerusi telefon.

Sementara itu, seorang pegawai kanan Amerika Syarikat menyatakan Washington memberikan bantuan sebanyak AS$100 juta (RM314.95 juta) kepada Jordan untuk membantu puluhan ribu penduduk Syria yang melarikan diri dari negara mereka.

Menurut kumpulan Pemantau Hak Asasi Untuk Syria, lebih 19,000 orang telah terbunuh di Syria sejak kebangkitan penduduk menentang pemerintahan Bashar bermula pada tahun lalu.

"Sekurang-kurangnya 19,106 orang terbunuh, kebanyakannya orang awam, sejak Mac tahun lalu," kata seorang kakitangan kumpulan itu, Rami Abdel Rahman kepada agensi berita AFP.

Jumlah itu melibatkan 13,296 orang awam, 4,861 askar Bashar dan 949 pembelot.

"Jumlah itu tidak termasuk ribuan orang yang hilang di dalam tahanan," katanya.

- Agensi
Pelajar Malaysia Di Syria Dibawa Pulang ekoran krisis

Pelajar Malaysia Di Syria Dibawa Pulang ekoran krisis

Kerajaan Malaysia mengambil keputusan untuk memulakan proses pemindahan pelajar Malaysia dari Syria pulang ke tanah air dengan segera memandangkan pergolakan yang semakin meruncing di negara itu.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata pemindahan itu sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan pelajar dan bagi mengelakkan berlakunya sebarang insiden tidak diingini.

Pemindahan ini diselaraskan oleh Kementerian Luar Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara bersama Kedutaan Besar Malaysia di Damsyik.

Sehubungan itu, Kementerian Luar memohon kerjasama ibu bapa/penjaga untuk menasihati anak-anak mereka yang masih berada di Syria untuk pulang ke Malaysia.

Duta Besar Malaysia dan empat orang pegawai kedutaan akan turut dipanggil pulang buat sementara waktu selepas proses pemindahan pelajar selesai dilaksanakan, kata Anifah dalam satu kenyataan di Putrajaya.

Sehingga kini, kesemua 138 rakyat Malaysia yang terdiri daripada 128 pelajar dan 10 ekspatriat yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia itu berada dalam keadaan selamat.

Kementerian sekali lagi menggesa kesemua rakyat Malaysia yang masih berada di Syria agar pulang ke tanah air atau meninggalkan negara berkenaan dengan segera, dan bagi mereka yang berhasrat melawat Syria, dinasihatkan menangguhkan lawatan hingga situasi keselamatan kembali pulih.

Kementerian telah membuka Bilik Operasi dan orang awam boleh menghubungi talian 03 - 8887 4570 untuk sebarang pertanyaan mengenai proses pemindahan ini.

- BERNAMA

Selasa, 03 Juli 2012

Pereka kereta Ferrari meninggal dunia


MILAN - Pereka bentuk kereta sport Ferrari, Sergio Pininfarina meninggal dunia pada usia 85 tahun di kediamannya di sini semalam.

Punca kematiannya tidak didedahkan tetapi dia pernah sakit sebelum ini.

Sergio dibimbing bapanya, Gian Battista yang merupakan pengasas firma reka bentuk kereta Farina pada tahun 1930-an, untuk menggantikannya sejak beliau masih kanak-kanak.

Dilahirkan pada 1926, beliau menyertai firma keluarga itu selepas memperoleh ijazah kejuruteraan mekanikal daripada Universiti Politeknik Turin.

Sergio dilantik ketua eksekutif Farina pada 1961 dan pengerusi apabila bapanya meninggal dunia pada 1966.

Ketika itu, firma berkenaan telah mencipta nama dalam mereka bentuk kereta bercirikan aerodinamik terkini yang menjadi tumpuan orang ramai.

Nama Farina kemudian ditukar kepada Pininfarina pada 1961 selepas mendapat restu presiden syarikat berkenaan.

Antara kereta terkenal yang direka bentuk firma tersebut termasuk kereta coupe Cisalfa pada 1947 yang kini dipamerkan di Muzium Seni Moden di New York.

Hubungan Pininfarina dengan Ferrari dimulakan oleh Gian Battista pada 1952 dan dipopularkan oleh Sergio sehingga menjadi jenama yang terkenal di seluruh dunia.

Sejak 50 tahun beliau menerajui Pininfarina, pengeluaran kenderaan syarikat itu meningkat daripada 524 unit setahun kepada lebih 50,000 kenderaan.

Selain perkongsian bersejarah dengan Ferrari, Alfa Romeo dan Maserati (kesemuanya dimiliki oleh Fiat), Pininfarina turut mereka bentuk kereta untuk Rolls-Royce dan beberapa jenama luar lain.

Antaranya kereta Chevrolet Corvette Rondine pada 1963, Cadiilac Alante pada 1986, Bentley Azure pada 1996 dan kereta coupe Peugeot 406 pada 1996.

Sergio turut mereka bentuk kereta Fiat 124 Spider keluaran 1986, Ferrari Testarossa pada 1984 dan dan Ferrari Scagliettia pada 2004.

- Reuters

Senin, 02 Juli 2012

Haiwan ajaib Galapagos


HARAPAN para saintis untuk melihat Lonesome George - seekor kura-kura gergasi Galapagos, meninggalkan baka berakhir apabila haiwan itu ditemui mati di Puerto Ayora, Pulau Santa Cruz, Ecuador pada 24 Jun lalu.

Puerto Ayora terletak di selatan Taman Negara Galapagos.

Dianggarkan berusia lebih 100 tahun, kura-kura berstatus duta Kepulauan Galapagos itu berjaya menarik lebih 180,000 pelancong untuk mengunjungi pulau itu tahun lepas.

George dipercayai kura-kura terakhir daripada subspesies Geochelonenigra abingdoni. Kepulauan itu masih dihuni kira-kira 20,000 ekor kura-kura gergasi daripada 13 subspesies.

"Pada waktu pagi semasa seorang renjer sedang meronda, dia menemui George mati di pusat pembiakan kura-kura gergasi.

"Kehidupan kura-kura ini telah berakhir, namun kami merancang untuk mengawet bangkainya bagi dijadikan tatapan pelancong pada masa hadapan," kata ketua taman itu, Edwin Naula.

Bangkai haiwan bertaraf selebriti itu ditempatkan di dalam sebuah kebuk sejuk bagi mengelakkannya daripada mereput. Saintis berkata, kematian George akan melenyapkan spesies itu.

George mempunyai kisah hidup yang tersendiri. Ia ditemui pada tahun 1972 di Pulau Pinta, salah sebuah pulau di Kepulauan Galapagos.

Sama seperti namanya Lonesome George, haiwan itu hidup bersendirian dan kesepian sepanjang hayatnya.

George tidak mempunyai anak. Walaupun ia cuba dibiakkan bersama dua kura-kura betina berlainan spesies, hasilnya mengecewakan.

Diburu

Pada tahun 2009, pegawai Ecuador mengumumkan seekor daripada dua kura-kura betina yang tinggal bersama George telah menghasilkan sebanyak lima biji telur. Malangnya kesemua telur itu gagal menetas.

George hidup bersama dengan kura-kura betina daripada jenis Geochlone becki itu sejak tahun 1993.

Populariti George bukan calang-calang bahkan berjaya menarik perhatian ikon terkenal Angelina Jolie dan Brad Pitt untuk melawat taman negara itu.

Lokasi tempat kura-kura itu tinggal juga dikunjungi oleh ribuan pelancong setiap tahun.

Mereka mengambil peluang bergambar dengan makhluk pelik di muka bumi itu.

Bagaimanapun, sejak kedatangan manusia ke kepulauan itu, jumlah kura-kura gergasi menurun secara signifikan.

Ia sering diburu kerana dagingnya manakala habitat semula jadinya turut dirampas oleh gerombolan kambing yang dibawa oleh penternak.

Namun, usaha penyelamatan oleh Taman Negara Galapagos dan Yayasan Charles Darwin untuk menambah kembali populasi kura-kura itu mula berhasil.

Secara umum, populasi kura-kura gergasi Galapagos meningkat daripada hanya 3,000 ekor pada tahun 1974 kepada 20,000 ekor sekarang.

Selain kura-kura gergasi, Kepulauan Galapagos juga terkenal sebagai rumah kepada berbagai spesies haiwan dan tumbuhan yang unik.

Keajaiban alam dan kebiasaan kura-kura Galapagos yang boleh hidup sehingga 200 tahun telah mencetuskan idea kepada saintis Britain, Charles Darwin untuk memperkenalkan teori evolusinya.

Ketua Pengarah Zoo Negara, Dr. Mohamad Ngah, berkata usaha untuk memastikan kura-kura gergasi terus hidup sememangnya agak sukar.

"Selain masalah kesihatan kerana usia yang lanjut, haiwan ini sensitif terhadap makanan yang diberikan.

"Selain itu, ia sukar menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran yang berbeza daripada habitat asal," katanya kepada Jurnal.

Jelasnya, pihak Zoo Negara juga mempunyai kura-kura gergasi daripada spesies Aldabran iaitu kura-kura kedua terbesar di dunia selepas spesies Galapagos tetapi usaha untuk membiakkan haiwan itu bukan mudah.

"Namun, itu tidak bermakna kita akan berhenti berusaha membiakkannya sebaliknya banyak lagi penyelidikan saintifik perlu dilakukan," beritahu beliau.

- KOSMO!

Senin, 25 Juni 2012

Morsi Presiden baru Mesir



KAHERAH - Calon pegerakan Ikhwanul Muslimin, Mohamed Morsi diisytihar Presiden negara demokratik Mesir yang pertama oleh jawatankuasa pilihan raya semalam selepas beliau menewaskan bekas Perdana Menteri, Ahmed Shafiq dengan 51.7 peratus undi pada pusingan kedua pilihan raya Presiden yang berlangsung minggu lalu.

"Pemenang pilihan raya Presiden Mesir pada 16 dan 17 Jun ialah Mohamed Morsi Eissa Al-Ayat," kata ketua suruhan jaya pilihan raya, Faruq Sultan.

Menurutnya, Morsi memperoleh 13,230,131 undi berbanding 12,347,380 undi yang diperoleh Shafiq.

Sekitar 51.8 peratus daripada lebih 50 juta pengundi berdaftar keluar membuang undi pada pilihan raya tersebut.

Morsi, 60, bakal menggantikan Hosni Mubarak yang digulingkan semasa kebangkitan rakyat Mesir 16 bulan lalu.

Namun, majlis tentera yang memerintah sejak kejatuhan Mubarak telah bertindak mengekang kuasa Presiden Mesir.

Langkah tersebut dilihat akan memaksa Morsi bekerjasama dengan tentera sebelum boleh merombak perlembagaan negara.

Dalam perkembangan berkaitan, beribu-ribu penyokong Ikhwanul Muslimin yang merupakan kumpulan Islam terbesar dan paling berpengaruh di Mesir membanjiri Dataran Tahrir di sini bagi meraikan kemenangan Morsi.

Mereka bersorak "Tuhan Maha Besar!" sambil mengibarkan bendera Mesir.

"Kemenangan ini merupakan hasil keazaman rakyat Mesir yang mahu suara mereka didengari," kata seorang jurucakap Morsi.

Sementara itu, Shafiq belum mempamerkan sebarang reaksi berhubung kemenangan Morsi.

Bekas Perdana Menteri itu sebaliknya memberitahu, beliau akan menawarkan diri untuk berkhidmat di bawah pentadbiran Morsi.

Morsi sebelum ini memenangi pusingan pertama pilihan raya Presiden Mesir.

Beliau turut berjanji akan membentuk pentadbiran inklusif yang dapat memuaskan hati pelbagai lapisan masyarakat Mesir termasuk golongan minoriti Kristian di negara berkenaan.

- Agensi

Kamis, 21 Juni 2012

Dilema nasib Rohingya



SAAT 29 orang etnik Rohingya di Arakan, Myanmar terbunuh manakala 30,000 yang lain memperjudikan nyawa menyeberang sempadan ke Bangladesh semata-mata mahu menyelamatkan diri, Zafar Ahmad Abdul Ghani bersyukur kerana dia berada dalam keadaan selamat di Malaysia.

Lelaki yang berusia 42 tahun itu juga sudah berkahwin dengan wanita tempatan dan memiliki tiga orang anak. Zafar Ahmad boleh memilih untuk duduk berehat di rumah dan bekerja untuk meningkatkan taraf hidup tanpa mempedulikan mereka yang masih terkandas di negara asalnya.

Namun, hanya individu yang pernah mengalami keperitan hidup akibat ditindas memahami ketakutan menjadi orang yang tidak dikehendaki. Melalui kebolehannya menggunakan teknologi maklumat, dia bersuara dan membongkar kesengsaraan etnik dalam blog selain memperjuangkan hak-hak asasi dari jauh.

Setiap hari tanpa jemu, Presiden Organisasi Hak-Hak Asasi Etnik Rohingya Myanmar di Malaysia (Merhrom) itu memuat naik artikel selain perkembangan-perkembangan terkini sama ada di Bangladesh atau Myanmar.

Dia berani bersumpah semua informasi yang dipaparkan dalam blognya yang beralamat merhrom.wordpress.com termasuk koleksi foto yang tidak pernah dipaparkan di media, adalah betul dan tepat.

Laporan tidak adil

"Rohingya tidak pernah dibenarkan keluar dari kawasan tersebut malah orang luar juga tidak pernah dibawa masuk ke Arakan.

"Hanya wartawan agensi berita Myanmar dibenarkan masuk. Jadi, laporan yang sama disiarkan berulang-ulang kali memberi impak bahawa orang Rohingya yang bersalah atas rusuhan terbaharu," bentak Zafar Ahmad ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Hampir seluruh dunia menyiarkan berita bahawa hubungan antara kedua-dua komuniti kembali bergolak pada akhir bulan lalu berikutan kejadian rogol dan bunuh seorang wanita Rankine.

Terbaharu, media tempatan Myanmar melaporkan mahkamah menjatuhkan hukuman bunuh terhadap dua lelaki Rohingya atas kesalahan merogol dan membunuh wanita berusia 27 tahun itu.

Zafar Ahmad pula mendapat berita terkini dari Arakan dan Bangladesh melalui kiriman pesanan pendek yang dihantar secara senyap-senyap kepadanya.

Semakin lama temu bual Kosmo! melalui telefon berlangsung, kedengaran semakin keras nada yang dilontarkan oleh Zafar Ahmad. Katanya, Akta Kewarganegaraan Burma pada tahun 1982 benar-benar menjadikan mereka sebuah kelompok etnik yang tidak memiliki negara.

"Terdapat 137 etnik di Myanmar dan hanya 135 diterima sebagai warganegara. Selain itu, bukan warganegara termasuk Rohingya," terang lelaki yang berpusat di Cheras Baru, Kuala Lumpur.

Sejak itu, semua hal-hal yang berkaitan Rohingya dipadamkan dalam buku sejarah Myanmar oleh pihak pemerintah termasuk subjek yang diajar di sekolah.

Sedangkan menurutnya, Rohingya sudah lama berada di tanah itu dan turut memiliki raja-raja beragama Islam yang menjadi pemerintah.

Dia yang tiba di Malaysia pada tahun 1988 turut mengadakan bantahan berdekatan Kedutaan Myanmar bersama lebih 3,000 orang. Ia bertujuan untuk menarik perhatian seluruh dunia bagi menghentikan keganasan terhadap komuniti mereka di Myanmar.

Sambil memegang sepanduk tertulis Stop Genocide (Hentikan Pembunuhan Etnik), Stop Religious Violence (Hentikan Keganasan Agama) dan lain-lain, mereka mendesak campur tangan antarabangsa bagi menghalang keganasan terhadap orang Rohingya.

"Walaupun junta menyatakan bahawa situasi semakin baik tetapi informasi yang diterima dari kampung adalah berbeza. Situasi semakin teruk dan keganasan semakin meningkat," ujar Zafar Ahmad.

Bantahan keganasan

Di negara yang menerima pelarian Rohingya seperti Australia, turut memperlihatkan usaha-usaha etnik tersebut dalam menyedarkan penduduk dunia mengenai kesengsaraan mereka.

Pada 14 Jun lalu, satu tunjuk perasaan yang disertai lebih 100 orang Rohingya diadakan di bangunan parlimen di Canberra berdekatan dengan kedutaan Burma.

Aktivis yang berada dalam buangan, Dr. Hla Myint mendakwa kerajaan Burma cuba menghapuskan etnik Rohingya melalui banci kebangsaan pada tahun 2001.

Selain itu, seorang lagi aktivis daripada Komuniti Burma Rohingya di Australia (BRCA), Aman Ullah ketika ditemu ramah oleh media ABC Australia Radio juga menekankan perkara yang sama.

Dalam kejadian rusuhan di Sittwe, Presiden Myanmar, Thein Sein telah menguatkuasakan perintah darurat di negeri terbabit dengan menempatkan tentera bagi melegakan tekanan.

Dalam laporan agensi berita Associated Press (AP), pihak polis terpaksa melepaskan tembakan amaran ke udara bagi menyuraikan sekumpulan etnik Rohingya yang membakar rumah penduduk.

Kebanyakan tempat di ibu negeri Sittwe dilaporkan masih tegang dengan sekolah-sekolah dan premis perniagaan ditutup.

"Ketegangan kini berada pada tahap tinggi dan situasi masih berbahaya," kata seorang etnik Rakhine dalam laporan yang dikeluarkan pada 12 Jun lalu.

Kenyataan Menteri Luar Myanmar, Wunna Maung Lwin kepada pemberita Reuters pula berbunyi, 'semua tindakan yang perlu diambil bagi mengembalikan kestabilan awam telah dilakukan oleh pihak pemerintah'.

"Kami menjaga semua perkara, kami beri keutamaan pada kestabilan negeri. Sittwe sudah kembali normal," ujarnya dalam sebuah lawatan ke Filipina.

Bagaimanapun, Aman Ullah dalam temu bual yang diadakan dengan media Australia mendakwa sebaliknya. Dia yang mendapat informasi dengan cara sama seperti Zafar Ahmad dengan tegas berkata, etnik Rankine yang menyerang Rohingya.

Ujarnya, polis tempatan yang digelar oleh etnik Rankine sebagai hloohtein, kebanyakannya terdiri daripada etnik Rankine. Dengan 'kelebihan' yang ada, etnik tersebut pergi ke kawasan kediaman Muslim untuk menjarah dan membunuh.

"Sepatutnya mereka melindungi, bukannya menjarah orang Muslim," tegasnya dalam wawancara itu.

Hak Rohingya dirampas

Aman Ullah mengakui bahawa masalah itu berpunca daripada tindakan orang Rohingya, namun sentimen yang tidak boleh dibendung telah memuncakkan perkara tersebut.

"Perintah berkurung menyebabkan Rohingya tidak boleh keluar rumah dan catuan makanan dilakukan. Jadi, tiada beras, makanan kering dan komoditi di rumah.

"Semua makanan hanya ada di pasar dan telah dirampas oleh orang Rankine tanpa meninggalkan walau sedikit beras sekalipun," luah Aman sambil menambah bahawa perintah darurat dikenakan kepada orang Muslim dan tidak kepada Rankine jadi mereka bebas melakukan apa-apa sahaja.

BRCA ditubuhkan pada tahun 1999 oleh penduduk Rohingya yang menetap di Australia. Ia merupakan sebuah badan tidak berkepentingan tetapi sering menjalankan kerjasama dengan organisasi luar bagi mengembalikan demokrasi selain mahu meningkatkan hak-hak asasi di Myanmar.

Tindakan pemerintah Myanmar dan kenyataan yang dikeluarkan oleh Aman Ullah sangat bercanggah antara satu sama lain kerana kedua-dua pihak seakan-akan menuding jari sesama sendiri.

Sehingga kini, kebanyakan negeri di utara Rakhine masih lagi tidak membenarkan wartawan dan pemerhati bebas memasukinya. Mustahil untuk mengesahkan versi laporan yang dikeluarkan oleh kerajaan tempatan.

Sementara itu, agensi makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, seramai 90,000 orang yang lari daripada keganasan etnik memerlukan bantuan.

Program Makanan Dunia (WFP) telah menyalurkan bekalan makanan kepada 66,000 orang sejak minggu lalu dan kini sedang mengedar stok tambahan ke bahagian barat Rankhine.

Jurucakap Agensi Pelarian PBB (UNHCR), Adrian Edwards pula berkata, bot-bot yang dipenuhi oleh orang Rohingya masih lagi menghala ke Bangladesh.

Namun, negara itu menolak untuk membenarkan pelarian memasuki Bangladesh dan telah menghantar pulang seramai 139 orang pada Ahad lalu.

Bangladesh kini berdepan dengan tekanan antarabangsa supaya membuka pintu negaranya untuk kemasukan pelarian Rohingya tetapi setakat ini masih menolak untuk melakukannya.

- KOSMO!

Senin, 11 Juni 2012

Rakyat Malaysia Boleh Lawat Rusia Tanpa Visa Tidak Lama Lagi

Rakyat Malaysia Boleh Lawat Rusia Tanpa Visa Tidak Lama Lagi

Rakyat Malaysia bersedia untuk menikmati lawatan tanpa visa ke Rusia, sekali gus meningkatkan peluang mereka untuk bercuti di Eropah.

Rundingan bersama Moscow bagi pengecualian visa, yang bermula sejak kira-kira lima tahun lalu kini melalui peringkat akhir.

Pelancong Rusia boleh bersedia melawat Malaysia tanpa visa dan menetap sehingga 30 hari.

Duta Rusia ke Malaysia, Lyudmila G. Vorobyeya berkata, kerajaannya sedang berusaha untuk memuktamadkan perjanjian dua hala dengan Malaysia.

“Perbincangan telah membuahkan hasil dan kita akan mengadakan satu perjanjian tidak lama lagi. Ia akan menjadi satu pencapaian yang penting untuk kita,” kata duta itu dalam satu temubual sempena sambutan Hari Rusia ke-20 pada Isnin.

Kira-kira 16,000 rakyat Malaysia berkunjung ke Rusia manakala 40,000 rakyat Rusia ke Malaysia pada tahun lalu.

Rakyat Malaysia perlu memohon visa dengan mengemukakan pakej pelancongan atau surat jemputan ke Kedutaan Rusia, dengan tempoh proses sehingga seminggu.

Pada masa ini, rakyat Malaysia boleh memasuki kesemua 27 negara Kesatuan Eropah (EU) tanpa visa (sehingga 90 hari) untuk tujuan bukan kerja serta empat negara bukan EU yang menganggotai sistem Schengen (Norway, Switzerland, Iceland dan Liechten-stein).

Vorobyeya berkata, Malaysia perlu meneroka pasaran pelancongan Rusia yang besar, sambil menambah terdapat kira-kira sejuta rakyat Rusia berkunjung ke Thailand dan 200,000 warganegara itu ke Vietnam dan Indonesia pada tahun lepas.

“Saya percaya Malaysia mempunyai lebih banyak tempat semulajadi yang menarik untuk ditawarkan kepada pelancong Rusia. Sabah, Sarawak dan Langkawi merupakan destinasi yang sering menjadi perhatian,” kata beliau, sambil menambah bahawa lawatan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen ke Rusia pada tahun lalu menjadi perintis bagi mengadakan kerjasama dalam pelancongan.

Duta itu turut berkata, satu mekanisme suruhanjaya bersama akan ditubuhkan pada tahun ini bagi menyediakan platform untuk merapatkan lagi hubungan dua hala.

Dari segi pendidikan, Vorobyeya menggesa pelajar Malaysia untuk meninjau kursus-kursus selain program ijazah perubatan seperti gas dan minyak serta kejuruteraan pesawat.

“Rusia mengekalkan standard yang tinggi dalam pendidikan dan terdapat faktor yang berbaloi boleh dipertimbangkan,” katanya.

- MSTAR

Minggu, 10 Juni 2012

Bashar al Assad runtuhkan Syria

Bashar al Assad runtuhkan Syria

Oleh Ku Seman Ku Hussain

PEMBUNUHAN beramai-ramai orang awam seolah-olah tidak akan berakhir. Selepas Hitler membunuh lebih enam juta Yahudi semasa Perang Dunia Kedua, diktator Pol Pot membunuh tidak kurang dua juta orang awam, tentera Amerika Syarikat (AS) membunuh 300 orang awam di My Lai Vietnam tahun 1969, pembersihan etnik yang mengorbankan lebih dua juta umat Islam di Bosnia tahun 1992 serta tentera marin AS membunuh 24 orang awam di Haditha, Iraq tahun 2006, banyak penganalisis sosial menganggap tidak berlaku lagi perbuatan kejam itu kerana manusia semakin bertamadun.

Tetapi tragedi pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam yang tidak berdosa berulang lagi. Kini perbuatan yang tidak bertamadun itu berlaku lagi dan yang malangnya ia berlaku di sebuah negara Islam.

Di Syria, tentera yang setia kepada diktator Presiden Bashar al Assad sudah membunuh hampir 200 orang awam. Pada minggu lalu tentera kerajaan menyerang sebuah kampung dan membunuh lebih 100 orang awam, sementara Rabu lalu pula 78 orang menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai.

Dalam tragedi My Lai yang berlaku pada 16 Mac 1968 itu tidak didedahkan hasil siasatannya kepada umum. Kes ini ditutup oleh AS sehinggalah dibongkar oleh wartawan penyiasatan akhbar Independent, Seymour Hersh pada 12 November 1969. Dunia wajar berterima kasih kepada wartawan.

Selepas pendedahan eksklusif dalam Independent, pada 20 November tahun yang sama majalah Time, Life dan Newsweek membuat laporan khas sementara stesen televisyen CBS juga membuat temu bual-temu bual eksklusif yang akhirnya menggoncang kedudukan Presiden Richard Nixon, Penasihat Keselamatan Henry Kissinger serta Setiausaha Pertahanan Melvin Laird.

Tetapi di Syria, pembunuhan beramai-ramai dilakukan secara terbuka dan tidak disorok daripada pengetahuan media. Bagaimanapun Bashar tetap berdolak-dalik dan menuduh ia dilakukan oleh puak pelampau dan bukannya tentera yang setia kepadanya. Beberapa saksi mengatakan pembunuhan itu dilakukan oleh tentera kerajaan. Malah banyak gambar mangsa disiarkan di media termasuklah kanak-kanak yang pecah tempurung kepala mereka dibedil tentera yang setia kepada diktator Bashar.

Kalau Nixon takut dengan tragedi My Lai yang boleh menumbangkannya, Bashar pula seolah-olah tidak gentar dengan tindakannya membunuh orang awam termasuk kanak-kanak. Dia cuma menafikan terlibat dalam pembunuhan itu, tidak lebih daripada itu. Bashar masih yakin dia begitu kuat untuk menghapuskan pihak pembangkang dengan melancarkan perang ke atas mereka.

Campur tangan

Pembunuhan beramai-ramai ini adalah bermulanya detik kejatuhan Bashar. Ini kerana perbuatan ini mengundang campur tangan asing yang berlindung di sebalik badan dunia seperti Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Walaupun sebelum ini rakyat bangkit menuntut reformasi politik di Syria tetapi kuasa luar tidak ada alasan lebih kukuh untuk mencampuri hal ehwal dalaman Syria. Tetapi isu yang kontroversi seperti pembunuhan beramai-ramai ini, kuasa luar ada alasan untuk mempercepat keruntuhan negara Islam ini.

Krisis di Syria bermula selepas beberapa negara Arab seperti Tunisia, Mesir dan Libya hancur akibat kebangkitan rakyat menumbangkan diktator. Ini sebenarnya bukanlah kebangkitan rakyat semata-mata tetapi campur tangan pihak luar yang mahu meruntuhkan negara-negara berkenaan. Pihak luar memainkan peranan di sebalik tuntutan keadilan sosial dan demokrasi dalam politik yang akhirnya mengundang campur tangan secara rasmi daripada NATO dan PBB menerusi Majlis Keselamatan.

Kebangkitan yang dikatakan dicetuskan oleh rakyat yang dahagakan reformasi politik ini merebak ke Syria tahun lalu selepas mendapat semangat daripada kejayaan rakyat menumbangkan diktator Hosni Mubarak di Mesir dan Muammar Gaddafi di Libya. Amerika Syarikat (AS) mengistilahkan kebangkitan ini sebagai Arab Spring. Hakikatnya bukanlah musim bunga tetapi gelora politik yang tiada berhujung bertapak di negara-negara berkenaan. Kini Syria menjadi salah satu daripadanya.

Bashar yang menggantikan ayahnya Hafez al Assad pada 2000 sebagai Presiden Syria. Dia meneruskan pemerintahan diktator di negara yang menjadi butang penting kepada dunia Arab terutama Turki, Lebanon dan Israel. Pada masa yang sama Syria mempunyai hubungan rapat dengan Rusia yang menjadi kebimbangan AS untuk menstrukturkan politik di Asia Barat.

Pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan Bashar terhadap rakyatnya yang mahukan reformasi politik telah mengundang campur tangan kuasa asing dalam negaranya. Tindakan ini tidak menguntungkan sesiapa waima Bashar sendiri kerana kuasa asing akan menggunakan alasan ini untuk mencampuri hal ehwal dalam negara Syria. Kedegilan dan sikap diktator pemimpinlah yang memberi bala kepada rakyat apabila kuasa asing menyelinap untuk membantu menumbangkannya.

Bashar memang diktator. Dia patut ditumbangkan dan diganti dengan pemimpin yang berjiwa rakyat. Tetapi penentangan puak haluan kiri sebenarnya bukanlah seperti perusuh mahu menumbangkan Mubarak atau Gaddafi. Puak haluan kiri terutama Majlis Kebangsaan Syria (SNC) memilih pendekatan budi bicara untuk menurunkan diktator Bashar. SNC yang dipimpin oleh pembangkang Burhan Ghalioun berpangkalan di Istanbul Turki tidak bertindak ganas.

Perjuangan puak berhaluan kiri adalah mahu memecahkan kongkongan parti Baath yang memerintah Syria tanpa demokrasi lebih lima dekad lalu. Bashar pula bertindak menekan dan menindas pembangkang yang muncul sebagai suara pembaharuan Syria.

Tindakan Bashar untuk terus berkuasa membuatkan rakyat marah dam memprotes. Tindakan rakyat mendapat sokongan Liga Arab dan PBB menerusi Majlis Keselamatan dan mengenakan sekatan ekonomi ke atas Syria. Ini adalah permulaan zaman gelap Syria dan yang menanggung kesan daripada pergolakan politik ini adalah rakyat yang dinafikan suara mereka untuk memilih pemimpin. Mereka ini bukan sahaja ditindas malah menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai hanya kerana menyuarakan hasrat mendesak diktator Bashar mengundurkan diri.

Pada akhir Januari lalu, Liga Arab mengarahkan Bashar membuat reformasi politik dan menyerahkan kuasa kepada timbalannya kemudian mengadakan rundingan dengan pembangkang. Pada masa yang sama Liga Arab mengarahkan pilihan raya pelbagai parti diadakan dan dipantau oleh pemerhati antarabangsa. Tetapi hasilnya ialah tindakan ganas tentera kerajaan terhadap penunjuk perasaan yang memaksa pilihan raya ditangguhkan.

Sejak Jun tahun lalu Syria telah menjangka akan berlaku krisis ekonomi yang teruk apabila kadar pengangguran, kemiskinan dan kenaikan harga barang yang tidak terkawal. Kini sektor perdagangan dan perladangan mengalami kesan yang teruk apabila Liga Arab, Kesatuan Eropah (EU), AS dan negara jirannya, Turki mengenakan sekatan ekonomi.

Akhirnya Syria bukan sahaja berdepan dengan krisis politik akibat kebangkitan rakyat menentang pemimpin diktator malah ekonomi yang merosot dengan pantasnya. Akibatnya mata wang pound Syria menjunam apabila diniagakan di pasaran gelap. Ketika ini nilai mata wang pound Syria jatuh lebih 60 peratus berbanding dolar Amerika.

Kalau Syria hancur selepas ini, ia dihancurkan oleh pemimpin diktator yang mengundang campur tangan asing. Sekiranya Bashar bertindak demokratik dan menerima kewujudan parti pembangkang, Syria tidak berada dalam keadaan yang tenat seperti sekarang.

- MINGGUAN MALAYSIA

Jumat, 08 Juni 2012

Keputusan EURO 2012 : Rusia 4 Czech 1 (Kumpulan A)



WROCLAW - Rusia menampilkan aksi garang apabila mengatasi Republik Czech 4-1 dengan menjaringkan dua gol pada babak pertama, dalam perlawanan Kumpulan A, yang berlangsung di Stadium Perbandaran Wroclaw.

Rusia, yang melangkah ke separuh akhir empat tahun lalu, menjaringkan dua lagi gol - dalam tempoh dua minit di akhir babak kedua iaitu minit ke-79 dan 82 untuk kesudahan 'pesta gol' pada hari pembukaan perlawanan.kejohanan kali ini.

Perlawanan itu, yang lebih 'tenang', berlangsung kira-kira sejam selepas dua lagi pasukan dalam Kumpulan A iaitu Poland dan Greece seri 1-1, pertemuan yang berakhir dengan detik-detik drama dan kontroversi, di Stadium Nasional, Warsaw.

Pertemuan hari ini juga menyaksikan dua bintang Arsenal, Andrei Arshavin dari Rusia dan Tomas Rosicky dari Czech bertemu sebagai musuh.
Pemain tengah Rusia, Alan Dzagoev memecah kebuntuan menewaskan penjaga gawang Czech, Petr Cech pada minit ke-15.

Selepas itu, pemain berjersi nombor enam, Roman Shirokov meledak gol kedua dengan menguis masuk hantaran cantik daripada Jaroslav Plasil melepasi benteng Czech pada minit ke-24.

Czech memperoleh gol pertamanya menerusi Vaclav Pilar pada minit ke-54.

Gol ketiga Rusia dijaringkan oleh Alan Dzagoev pada minit ke-79 manakala yang seterusnya oleh Roman Pavlyuchenko empat minit kemudian.

Pada aksi tadi, anak-anak buah Dick Advocaat mencatatkan keputusan yang positif sekaligus menjadikan kemenangan terbesar setakat ini dan menghuni tangga teratas Kumpulan A.

Pada saingan Kumpulan B awal pagi esok, ia akan menyaksikan kumpulan maut bertarung diantara Belanda menentang Denmark dan Jerman bertemu Portugal.



Sekilas Fakta:
- Keputusan akhir Rusia (4) Republik Czech (1)
- Penguasaan 58% Rusia; 42% Republik Czech
- Tendangan ke arah gawang 17 (Rusia); 12 (Republik Czech)
- Tendangan sudut 3 (Rusia); 5 (Republik Czech)
- Kesalahan pemain 11 (Rusia); 14 (Republik Czech)

- SINAR HARIAN

Keputusan EURO 2012 : Poland 1 Greece 1 (Kumpulan A)



WARSAW - Selepas spekulasi dan harapan berbulan-bulan, kejohanan Euro 2012 bermula di ibu negara Poland dengan pasukan tuan rumah dan Greece terikat 1-1 dalam pertemuan yang penuh dengan drama dan kontroversi.

Drama dan kontroversi melibatkan layangan dua kad merah termasuk ke atas penjaga gol Poland sendiri.

Greece yang mempertikaikan keputusan pengadil apabila tidak memberi tendangan penalti pada separuh masa pertama, gagal menyempurnakan sepakan penalti di separuh masa kedua.

Pengadil dari Sepanyol, yang dilihat 'bias' kepada Greece di separuh masa pertama, melayangkan dua kad merah masing-masing satu kepada pasukan Poland dan Greece, sekali gus mencemarkan perlawanan sulung kejohanan Euro 2012.

Poland menguasai separuh masa pertama manakala Greece pula lebih menguasai permainan separuh masa kedua. Ia perlawanan pertama Kumpulan A yang turut dianggotai Rusia dan Republik Czech.

Gol pertama kejohanan dan bagi pasukan Poland dijaringkan oleh Robert Lewandowski pada minit ke-17. Greece menyamakan kedudukan di awal separuh masa kedua, iaitu pada minit ke-51, menerusi Dimitris Salpingidis, yang dibawa masuk pada separuh masa kedua.

Salpingidis menghasilkan beberapa percubaan tetapi gagal membawa mata penuh kepada Greece.

Perlawanan sulung ini mencetuskan kontroversi apabila pengadil melayangkan kad merah selain menafikan tendangan penalti kepada pasukan Greece.

Pemain Greece, Sokratis Papastathopoulos dilayangkan kad merah dan diarah keluar padang sementara Poland kelihatan menguasai perlawanan sulung ini.

Bermain dengan 10 pemain, Greece kelihatan berhadapan dengan situasi malang apabila dinafikan tendangan penalti ketika separuh masa pertama hampir tamat.

Pemain Greece Jose Holebas yang mempertikaikan keputusan pengadil menafikan tendangan penalti diberikan kad kuning, sekali gus mencetuskan kontroversi.

Holebas mempertikaikan bahawa pemain Poland menahan bola dengan tangan di hadapan gawang, Keputusan itu turut dipertikaikan oleh banyak pihak termasuk komen-komen melalui blog dan Twitter.

Penjaga gol Poland Wojciech Szczesny, yang sebelu ini mewakili Arsenal, pula diberikan kad merah dan diarah keluar padang selepas menjatuhkan pemain Salpingidis pada minit ke-69.

Tendangan penalti Greece, yang diambil oleh Giorgos Karagounis tidak disempurnakan dengan baik. Ia diselamatkan oleh penjaga gol gantian Przemyslaw Tyton.

Salpingidis menjaringkan gol empat minit kemudian tetapi tidak dibenarkan kerana 'offside'.

Kejohanan kali ini dianjurkan bersama oleh Poland dan Ukraine.

Sepakan mula dilakukan oleh Greece yang bertemu dengan pasukan tuan rumah Poland di Stadium Nasional di sini setelah selesainya majlis perasmian.

Sebanyak 16 pasukan terbaik bersaing di peringkat akhir Euro 2012 yang akan berlangsung selama tiga minggu - untuk menguasai Piala Henri Delaunay. Sepanyol mempertahankan kejuaraan mereka.

Perlawanan akhir akan berlangsung 1 Julai di Kiev, Ukraine.

Sebanyak 31 perlawanan akan berlangsung sepanjang tempoh selama tiga minggu kejohanan. Pertemuan Poland dan Greece ini disusuli dengan perlawanan antara Rusia dan Republik Czech pada jam 2.45 pagi nanti.



SEKILAS FAKTA:

- Keputusan akhir Poland (1) Greece (1)
- Bermain dengan 10 orang; pemain Poland Szczesny dan Papastathopoulos dari Greece dibuang padang
- Robert Lewandowski penjaring sulung Euro 2012.
- Greece dinafikan penalti pada separuh masa pertama, tetapi gagal menyempurnakan penalti di separuh masa kedua.
- 3 kad kuning; 2 kad merah dikeluarka.
- Dimitris Salpingidis dan Przemyslaw Tyton wira bagi Greece dan Poland Salpingidis menjaringkan gol Greec; Tyton menyelamatkan tendangan penalti.

- SINAR HARIAN

Minggu, 03 Juni 2012

Rakyat Britain mahu sistem beraja dikekal


LONDON 2 Jun - Tinjauan di Britain mendapati 80 peratus rakyat Britain mahu sistem pemerintahan beraja dikekalkan, ketika negara itu hari ini menyambut Jubli Intan sempena 60 tahun pemerintahan Ratu Elizabeth II, yang akan berlangsung selama empat hari.

Sambutan itu diadakan ketika keluarga diraja Britain mendapat sokongan tertinggi dalam tempoh beberapa dekad dengan tinjauan terbaru menunjukkan 80 peratus rakyat Britain mahu mengekalkan sistem pemerintahan beraja.

Berjuta-juta rakyat Britain meraikan sambutan Jubli Intan itu dengan mengadakan parti di kediaman masing-masing.

Sambutan itu diserikan dengan pelbagai aktiviti termasuk pertunjukan 1,000 bot serta konsert penyanyi terkemuka.

Ratu Elizabeth II merasmikan temasya itu dengan menyaksikan lumba kuda, di Epsom Derby, aktiviti kegemarannya, sebelum dijadual menaiki kapal di Sungai Thames dengan diiringi flotila gergasi esok.

Sejuta orang dijangka berbaris di tepi sungai untuk menyaksikan pertunjukan bot wap, bot laju, bot tunda dan kapal-kapal sejarah yang menakjubkan.

Satu konsert berlatar belakangkan Istana Buckingham yang menampilkan Paul McCartney dan beberapa penyanyi terkenal lain dijadual diadakan pada Isnin ini sebelum temasya itu diakhiri dengan perarakan besar-besaran pada Selasa ini.

- AFP

Mubarak dipenjara seumur hidup


KAHERAH 2 Jun - Mahkamah Mesir, hari ini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas bekas Presiden Hosni Mubarak, selepas dia didapati bersalah terlibat dengan pembunuhan penunjuk perasaan semasa kebangkitan rakyat di negara ini, yang membawa kepada penggulingannya pada tahun lalu.

Bekas Menteri Dalam Negeri, Habib al-Adly turut dijatuhi hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan sama, manakala enam lagi bekas komander polis dibebaskan.

Tuduhan rasuah ke atas anak-anak Mubarak, Alaa dan Gamal, bagaimanapun digugurkan ekoran status tamat tempoh.

Tuduhan rasuah terhadap bekas Presiden itu turut digugurkan.

Sementara itu, kekecohan berlaku sejurus selepas keputusan mahkamah itu dibacakan dengan orang ramai berteriak 'Tidak sah' tidak sah' dan 'Kami mahu badan kehakiman disingkirkan'.

Peguam turut berang dengan keputusan mahkamah membebaskan Alaa dan Gamal dan memberitahu AFP mereka bimbang Mubarak dan Adly mungkin didapati tidak bersalah jika rayuan dibuat.

Bekas Presiden itu yang dilihat memakai kaca mata hitam tidak menunjukkan sebarang emosi ketika Hakim Ahmed Refaat membacakan hukuman itu.

Alaa dan Gamal yang dilihat letih dengan lingkaran hitam di bawah mata mereka pula, hampir-hampir menitiskan air mata selepas mengetahui mereka dibebaskan.

Pertempuran turut tercetus di luar mahkamah dan polis menggunakan bom yang mengeluarkan bunyi kuat untuk mengawal keadaan.

Mubarak dan bekas Menteri Dalam Negeri, Adly dan enam lagi bekas komander polis dibicarakan berhubung penglibatan mereka dengan pembunuhan kira-kira 850 penduduk ketika kebangkitan rakyat di Mesir pada tahun lalu.

- AFP

Kamis, 31 Mei 2012

Pengajaran daripada pilihan raya kecil Singapura

Pengajaran daripada pilihan raya kecil Singapura

Oleh GeoStrategis Institut

KEPUTUSAN pilihan raya kecil Singapura yang baru selesai beberapa hari lalu menyaksikan calon pembangkang dari Parti Pekerja (WP) mengekalkan kerusi daerah Hougang adalah satu keputusan tidak diduga kerana Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah berkeyakinan tinggi merampas kembali kerusi tersebut.

Memang tidak dinafikan bahawa pengundi Hougang telah lama bersama-sama dengan pembangkang iaitu sejak dua dekad lepas. Tetapi memandangkan strategi yang disusun oleh pemimpin PAP untuk menambat hati pengundi adalah begitu rapi, keputusan pilihan raya tersebut seakan-akan memberi isyarat ada sesuatu yang masih tidak kena.

Semenjak keputusan pilihan raya umum tahun lepas yang menyaksikan kemerosotan undi popular PAP menyusut ke paras terendah 60 peratus, kerajaan PAP telah melaksanakan beberapa langkah untuk mengurangkan keluhan dan rasa tidak puas hati pengundi.

Bukan sahaja keputusan pilihan raya umum yang membuatkan PAP tersentak, tetapi juga pada pilihan raya presiden pada Ogos lalu yang hampir menyaksikan calon PAP, Tony Tan tewas telah memberi isyarat bahawa sesuatu yang drastik perlu dilakukan oleh mereka.

Selama ini kerajaan PAP hanya memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi republik tersebut tetapi strategi tidak disusun supaya limpahan nikmat dapat dikecapi oleh semua peringkat rakyat. Ini adalah kerana hanya golongan berpendapatan tinggi yang meraih keuntungan dari pertumbuhan pesat menyebabkan sebahagian besar rakyat Singapura lain tersepit kerana kos sara hidup yang melambung tinggi.

Begitu juga dengan kebanjiran pekerja asing sama ada yang berkemahiran atau tidak juga menjadi isu sensitif kerana sebahagian besar peluang pekerjaan dibolot oleh golongan ini. Walaupun hampir 123,000 peluang pekerjaan telah dibentuk pada tahun lepas, malangnya lebih 70 peratus pekerjaan tersebut disambar oleh pekerja asing.

Perdana Menteri, Lee Hsien Loong telah bekerja keras untuk merapatkan jurang di antara rakyat berpendapatan tinggi dan rendah dengan membina lebih banyak perumahan mampu milik, memperbaiki sistem pengangkutan awam dan mengurangkan kos perubatan. Beliau juga telah mengenakan cukai yang lebih tinggi kepada pekerja asing untuk memberi isyarat bahawa kesejahteraan rakyat Singapura sentiasa diutamakan.

Walaupun jumlah undi calon PAP telah meningkat sebanyak tiga peratus berbanding pilihan raya umum 2011, tetapi peningkatan tersebut adalah terlalu kecil berbanding dengan usaha yang telah dilakukan untuk memikat pengundi Hougang.

Sebab utama mengapa pengundi Hougang masih tidak mahu beralih kepada parti pemerintah adalah kerana persepsi serong bahawa PAP adalah sebuah organisasi yang begitu eksklusif dan ahli politik dalam Kabinet kerajaan adalah golongan istimewa. Walaupun gaji menteri telah dikurangkan tetapi secara puratanya jumlah pendapatan menteri Kabinet Singapura adalah antara yang tertinggi di dunia.

Kebanjiran pekerja asing yang merangkumi sehingga satu pertiga jumlah penduduk Singapura telah menyebabkan rakyat pulau tersebut merasa begitu tersisih dan keadaan menjadi lebih buruk apabila kepimpinan PAP ditafsir sebagai tidak menangani isu tersebut secara langsung, yakni kesan dari perlaksanaan dasar tidak dirasai oleh rakyat.

Memang benar kerajaan PAP telah menyediakan dasar peringkat nasional sebagai strategi menangani rungutan ekoran pengajaran keputusan pilihan raya umum 2011. Tetapi masalahnya adalah jika kesan pelaksanaan tersebut tidak dikecapi secara langsung oleh rakyat Singapura, maka keputusan yang telah dibuat oleh pengundi Hougang adalah tidak mengejutkan.

Bantuan kewangan perlu disalurkan secara langsung kepada golongan yang paling memerlukan. Umpamanya untuk mengurangkan kos sara hidup, dasar nasional diperlukan untuk menangani isu tersebut dalam jangka masa panjang. Tetapi dalam masa kini, bantuan kewangan atau rebat perlu juga disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

Walaupun jumlah bantuan kewangan tersebut mungkin dianggap kecil dan tidak bermakna oleh golongan kaya, tetapi bagi mereka yang memerlukannya akan menghargai setiap bentuk bantuan yang dihulur.

Begitu juga kerajaan PAP perlu dilihat sebagai memberi layanan yang sama rata kepada semua rakyat Singapura. Daerah Ang Mo Kio mempunyai kemudahan awam yang begitu sempurna dan lengkap berbanding Hougang walaupun kedua-duanya adalah bersebelahan. Memang benar Ang Mo Kio telah diwakili oleh calon PAP buat sekian lama, tetapi perbezaan kemudahan fizikal yang begitu ketara membuatkan pengundi Hougang begitu tersisih dengan arus pembangunan perdana.

Persepsi bahawa pemimpin politik bekerja untuk rakyat dan bukan sebaliknya adalah kritikal dan sebab itu hubungan secara langsung dengan berbagai peringkat rakyat tidak kira sama ada yang tua atau muda, kaya atau miskin perlu dilangsungkan.

Senario politik Singapura telah menyerlahkan bahawa pertumbuhan ekonomi yang pesat jika tidak direncanakan supaya manfaatnya dapat dirasai oleh kumpulan sasaran, maka kesemua kemakmuran tersebut sebenarnya tidak memberi sebarang makna.

Kepimpinan PAP sebenarnya mempunyai masa yang agak panjang sebelum terpaksa menghadapi pilihan raya kerana mandat yang diperolehi hanya baru setahun digunakan. Masih belum terlambat untuk melakukan beberapa perubahan pendekatan yang perlu diamalkan.

Dalam hal ini tidak keterlaluan jika disarankan supaya strategi kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga diterokai oleh kepimpinan PAP kerana konsep mendekati dan merahmati semua lapisan rakyat secara langsung telah lama diamalkan.

- UTUSAN

Antara Ratu dan Rakyat


Oleh Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Bekas Mufti Perlis dan kini felo Pusat Pengajian Islam Oxford

SAMBUTAN Jubli Intan sempena 60 tahun pemerintahan Queen Elizabeth II yang menaiki tahta sejak 1952 akan berlangsung UK beberapa hari lagi. Dikatakan beberapa negara yang masih mendaulatkan Monarki British itu seperti Australia, Canada, New Zealand dan lain-lain akan turut menyambutnya. Di UK, sambutan kelihatan agak besar. Masih nampak perasaan sayang rakyat pada Ratu.

Bangga

Saya sendiri merasakan, jika saya rakyat British yang asal, tentu saya juga akan berbangga dengan sumbangan yang pernah diberikan oleh keluarga diraja British itu. Di samping pelbagai sudut yang dikritik, British pernah menjadi empayar yang begitu hebat dan luas sehingga disebut ‘The Sun never sets on The British Empire’. Sebahagian kekayaan dan kemakmuran yang dirasai oleh rakyat British hari ini adalah hasil usaha ‘penjajahan’ yang dilakukan oleh keluarga diraja British.

Sama ada secara langsung ataupun tidak. Di sudut itu, keluarga diraja British memang menyumbang untuk negaranya. Ia bukan keluarga diraja yang hanya menghisap hasil rakyat dan meminta mereka disanjung tanpa satu catatan sejarah yang boleh dibanggakan. Mereka menjajah, ya! itu suatu yang negatfve bagi kita yang dijajah. Namun, untuk negaranya mereka telah membawa kekayaan pulang hasil ‘perahan’ negara lain. Maka, Keluarga Diraja British ada keluarga yang berjasa dan mencatatkan sejarah.

Sekalipun sebagai penjajah. Mereka bukan keluarga diraja yang menjemput penjajah sehingga sanggup menyerah tanah dan rakyat untuk kepentingan diri, tetapi mereka menakluki negara lain dan membawa hasilnya ke Britain kembali.

Kritikan

Pun begitu sambutan Jubli Intan yang akan berlangsung itu tidak sunyi dari kritikan. Akhbar dan orang ramai ada yang memprotes sambutan tersebut sebagai membazir wang negara dalam keadaan ekonomi Eropah yang tidak stabil sekarang. Ada yang membuat undian pendapat apakah sambutan itu membazir ataupun tidak. Ada pula yang mengira kos kerugian cuti disebabkan sambutan tersebut.

Hasrat Ratu untuk mendapat hadiah sebuah Yacht (kapal persiaran) daripada kerajaan sempena Jubli ini pun telah ditolak apabila survey menunjukkan 64 peratus rakyat tidak bersetuju.

Demikian ramai juga yang mengkritik sambutan Jubli ini disebabkan antara jemputan Queen ialah raja-raja yang dianggap tidak demokratik dan zalim dari pelbagai negara. Kritikan ditujukan kepada Queen sebagai tidak sensitive dengan isu kemanusiaan.

Apapun, kami di sini akan dapat cuti. Segala kritikan dan sokongan kepada Queen adalah asam garam kehidupan mereka di sini yang menghormati hak rakyat dalam bersuara. Setuju ataupun tidak satu hal.

Namun memberikan ruang rakyat bersuara adalah tanda pemerintah yang demokratik dan menghormati rakyat. Rakyat tidak dianggap derhaka hanya dengan memberikan pendapat yang berbeza.

Hanya kelompok ‘jakun’ yang cuba hidup dalam dalam kalangan manusia berakal sahaja yang menganggap memberi pendapat itu satu jenayah, sekalipun ia tidak diikuti dengan aktiviti yang mengancam dan merosakkan keselamatan rakyat. Ya, sudah pasti ada peraturan dan adabnya dalam setiap perkara.

Namun hak bersuara tidak boleh dinafikan. Kita patut ‘tabik’ kepada Monarki British di ‘sudut itu’. Mungkin perkembangan politik British juga tidak memberikan mereka pilihan melainkan demikian. Saya rasa itulah salah satu sebab Monarki British itu masih disayangi dan rakyat merasakan mereka patut terus berada di situ.

Isu Malaysia

Saya terlambat ikuti perkembangan isu di Malaysia. Saya dimaklumkan bahawa ada isu tentang istana tertentu membida number kereta sehingga lebih RM 500,000. Saya juga dimaklumkan bahawa ada yang telah kritik isu ini. Saya tidak tahu pendetilan isu tersebut. Saya tidak tahu siapa yang patut dipersoalkan.

Cuma, apabila ada yang bertanya dalam Twitter, saya jawab secara umum bahawa ‘JIKA’ golongan istana tidak boleh dipertikaikan bererti rakyat telah mempertuhankan mereka. Ini kerana hanya Tuhan sahaja yang tidak boleh dipertikaikan oleh manusia. Saya 'twit' hal itu secara umum tanpa ditujukan khusus kepada sesiapa. Ada yang cuba menjadikan 'twit' itu khusus kepada isu berkenaan.

Sebenarnya tidak. Ada pula yang menyunting rakaman ucapan saya dalam isu lain yang dah lama semasa saya masih di Malaysia, lalu dikaitkan dengan isu berkenaan. Itu pun tidak betul. Saya tidak tujukan kepada peribadi, tetapi kaedah yang umum.

Saya juga setuju, menegur pemerintah ataupun raja dalam isu peribadi memerlukan bahasa yang sesuai dan berkesan. Kritikan hendak membina. Namun hak menegur tetap ada.

Saya mungkin tidak bersetuju dengan isi sesuatu kritikan. Bahkan saya mungkin menentang pengkritik itu sendiri dalam isu-isu yang lain. Namun, saya berpegang bahawa seseorang rakyat itu selagi dia menggunakan bahasa yang wajar dan hujah yang betul, tidak wajar untuk dia dihukum kerana mengkritik. Mana-mana pihak yang menghalang orang mengkritik golongan bangsawan sekalipun dengan bahasa yang betul, adalah golongan feudal yang tidak wajar menguasai politik masa kini.

Adakah sesiapa dalam kalangan pemerintah kita yang lebih mulia, hebat dan gagah dari Saidina ‘Umar bin al-Khattab?! Beliau pernah ditegur, namun beliau tidak menghukum pengkritiknya. Khalifah Umar bin al-Khattab suatu hari pernah membahagi-bahagikan kepada rakyatnya pakaian lalu beliau naik ke atas mimbar dan berkata: “Wahai manusia dengarlah!” Tiba-tiba bangun Salman al-Farisi berkata: “Kami tidak mahu dengar”. Lantas Umar bertanya: Kenapa wahai Salman?” Jawabnya: Engkau berikan kamI semua seorang sehelai, sedangkan engkau memakai dua helai”. Kata ‘Umar: “Jangan tergesa-gesa wahai Salman”. Lalu Umar memanggil anaknya Abd Allah. Kata Umar: Aku menyerumu dengan nama ALLAH, bukankah pakaian yang aku pakai ini adalah peruntukanmu yang engkau berikan padaku”. Jawabnya: Ya!. Maka kata Salman: “Sekarang kami akan dengar”. (Ibn Qutaibah, ‘Uyun al-Akhbar, 1/55).

Tiada hukuman pun sedangkan itu ‘Umar bin al-Khattab. Apakah kita merasakan bahawa ada pihak yang lebih mulia dari Nabi s.a.w dan para al-khulafa ar-Rasyidin. Nabi s.a.w sendiri pernah dipersoalkan beberapa tindakan baginda seperti tentang isi perjanjian Hudaibiyyah yang baginda meterai. Baginda tidak menghukum pengkritik. Sedangkan baginda seorang nabi. Siapakah yang merasakan lebih mulia dari baginda?!

Ulama

Ulama mestilah bersikap seperti tokoh ilmuwan agung mazhab al-Shafi’i iaitu al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H). Saya telah petik kisah beliau dalam artikel saya semasa saya masih menjadi Mufti Perlis. Saya ketika itu mengkritik kenaikan harga barang. Artikel itu disiarkan oleh akhbar Utusan (Mingguan Malaysia). Saya petik kisah al-Imam al-Nawawi r.h (631-676H) yang diminta oleh Raja pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi musuh yang mengancam negara iaitu tentera Tatar.

Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad. Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan fatwa berkenaan. Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga.

Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong? Beliau menjawab: Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta. Kemudian ALLAH memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki tali pinggang daripada emas.

Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamha perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga baitul mal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu.

Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan nabiNya s.a.w. (lihat: ‘Abd al-Ghani al-Daqar, al-Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam).

Inilah tokoh Mazhab al-Shafi’i yang sangat hebat dari segi ilmu dan akhlak. Di Malaysia, ada yang fanatik mazhab. Pantang dengar orang tidak berpegang dengan mazhab Shafi’i yang ‘dia faham’, terus hendak diadukan kepada sultan dan raja. Malang sekali, sikap dan budi tokoh-tokoh mazhab itu tidak diteladani.

Kita tidak meminta pemerintah supaya jadi seperti ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz. Kita minta jangan buat sesuatu yang menimbul persoalan dan kegelisahan rakyat. Kita ingin sayangkan pemerintah kita dengan ikhlas. Pihak istana akan lebih dihormati dan disayangi jika mereka mengikut perkembangan dan perasaan rakyat.

Hari ini dunia terbuka. Memaksa orang suka hanya membakar rasa kebencian. Namun, akhlak yang baik, teladan yang bagus dan kehidupan yang jujur akan menjadikan sesebuah institusi itu bertambah dekat di hati dan jiwa rakyat.

- SINAR HARIAN

Selasa, 29 Mei 2012

Rakyat Syria dibedil dengan meriam


Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan kuat mengecam kerajaan Syria kerana menggunakan meriam dalam pembunuhan beramai-ramai yang menyebabkan sekurang-kurangnya 180 orang terbunuh dan 300 lagi cedera sejak Jumaat lalu.

Pegawai-pegawai PBB berkata, pembunuhan kejam di Houla yang menjadi tajuk perbincangan ketika mesyuarat kecemasan Majlis Keselamatan semalam, turut menyebabkan 49 kanak-kanak dan 34 wanita terbunuh.

Rusia, sekutu kuat Syria, turut menandatangani kenyataan Majlis Keselamatan yang 'mengecam dengan kuat' pembunuhan di perkampungan berhampiran pusat tunjuk perasaan di bandar Homs itu.

Menurut kenyataan, angka korban telah disahkan oleh pemantau PBB dan menyatakan kematian berpunca daripada 'serangan melibatkan beberapa siri tembakan meriam dan bedilan kereta kebal kerajaan ke atas penduduk'.

Majlis yang dianggotai 15 negara itu turut membuat tuntutan baru terhadap Presiden Bashar al-Assad, mendesak beliau mengundurkan senjata berat dari kawasan penduduk dan mahu 'mereka yang bertanggungjawab melakukan keganasan dihukum'.

Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dan wakil damai Liga Arab-PBB, Kofi Annan menyifatkan pembunuhan beramai-ramai di Houla sebagai 'tindakan yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa'.

Sementara itu, beribu-ribu orang mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan di seluruh Syria semalam bagi menentang pembunuhan di Houla.

Britain dan Perancis mencadangkan supaya PBB mengambil tindakan berbanding hanya membuat kecaman keras ke atas kerajaan Syria.

Namun, Rusia tidak bersetuju dan mahu satu mesyuarat khas diadakan sebelum meluluskannya.

Kerajaan Syria menafikan bertanggungjawab atas insiden itu dan Rusia masih tidak menerima jika Damsyik dipersalahkan.

- AFP

Rabu, 23 Mei 2012

Piala Thomas 2012 : Malaysia gagal ke separuh akhir


Pasukan badminton negara gagal layak ke separuh akhir Piala Thomas selepas tunduk di tangan China 3-0. Pada pusingan suku akhir pada jam 7 malam tadi di Gimnasium Pusat Sukan Wuhan, Malaysia tewas pada tiga perlawanan berturut-turut.

Pada perlawanan perseorangan pertama menyaksikan Daren Liew melakukan kejutan terhadap Lin Dan apabila menang set pertama 17-21.

Selepas itu, Lin Dan kembali bangkit menewaskan Daren di set kedua 21-9 dan menang di set penentuan dengan catatan 21-5.

Pasangan beregu negara, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong tewas kedua-dua set kepada Cai Yun dan Fu Haifeng dengan kiraan 21-17 dan 21-18 sekalipun mereka memberi saingan sengit kepada beregu China itu di set kedua.

Pada perlawanan terakhir, perseorangan kedua negara, Muhammad Hafiz Hashim dilihat dapat menyalakan impian negara tetapi musnah apabila tunduk kepada Chen Long. Chen Long menang kedua-dua set dengan catatan 21-10 dan 21-11.

Baki dua perlawanan seterusnya tidak dapat memberi apa-apa makna kepada keputusan Malaysia. Perlawanan beregu kedua membabitkan Lim Khim Wah dan Goh V Shem menentang Shen Ye dan Hong Wei dari China.

Perlawanan perseorangan terakhir, Chong Wei Feng menentang Chen Jin. Kelmarin, Chong Wei terpaksa menarik diri dari meneruskan persaingan ketika menentang Denmark, Peter Hoeg Gade dalam pusingan Kumpulan C.

Chong Wei mungkin akan dihantar ke luar negara untuk menjalani rawatan sekiranya tiada alternatif lain.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, ia merupakan jalan terbaik buat pemain harapan negara itu menghadapi Olimpik London untuk merawat kecederaan di bahagian buku lali kanan.

Kali terakhir skuad negara memenangi Piala Thomas ialah pada 1992 di Stadium Negara selepas menumpaskan Indonesia 3-2 pada perlawanan akhir.

- SINAR HARIAN
MAFTA berkuat kuasa 1 Januari 2013

MAFTA berkuat kuasa 1 Januari 2013

KUALA LUMPUR 22 Mei - Pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas antara Malaysia dan Australia (MAFTA) yang ditandatangani hari ini akan berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 Januari tahun depan.

Pemeteraian MAFTA itu membolehkan pengeksport tempatan mengeksport semua barangan tanpa cukai ke Australia.

Pengeksport Australia pula menikmati pengurangan hampir 99 peratus tarif barangan menjelang tahun 2020.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, di bawah perjanjian itu, Malaysia akan membenarkan pemilikan sehingga 100 peratus dalam pendidikan tinggi swasta menjelang 2015.

Australia juga ditawarkan penguasaan sehingga 100 peratus dalam pegangan asing dalam telekomunikasi namun bergantung kepada jenis-jenis lesen.

Menurut beliau, bagi lesen penyediaan perkhidmatan rangkaian (NSP) dan penyediaan kemudahan rangkaian (NFP), Australia dibenarkan menguasai sehingga 70 peratus.

Dalam sektor kewangan pula, Australia dibenarkan memiliki pegangan ekuiti sehingga 70 peratus dalam syarikat insurans dan bank-bank pelaburan, 100 peratus pegangan dalam syarikat nasihat pelaburan dan 70 peratus bagi nasihat kewangan korporat dan syarikat perancangan kewangan.

Sebaliknya, Australia pula membenarkan penyertaan Malaysia dalam perkhidmatan hospital dan perkhidmatan sokongan hospital.

Negara itu turut membenarkan Malaysia mewujudkan perkhidmatan perubatan pelengkap dan tradisional, termasuk urutan Melayu, homeopati, Ayurveda dan perubatan tradisional Cina, katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengumumkan butiran MAFTA sebelum menandatangani perjanjian itu di sini hari ini.

Pada majlis itu, Mustapa mewakili Malaysia dan Australia pula diwakili oleh Dr. Craig Emerson.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Malaysia dan Australia memulakan rundingan pada Mei 2005 tetapi tertangguh pada 2006 bagi membolehkan kedua-dua negara memberi fokus kepada perjanjian perdagangan bebas (FTA) ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA).

Rundingan semula antara Malaysia dan Australia bersambung semula pada Ogos 2009 selepas AANZFTA selesai.

Selepas 11 kali rundingan, MAFTA berjaya dimuktamadkan pada 30 Mac lalu.

Australia adalah negara keenam yang menandatangani FTA dengan Malaysia selepas Jepun, Pakistan, New Zealand, Chile dan India.

- UTUSAN

Pondok telefon unik di Sao Paulo


SAO PAULO, Brazil - Sebanyak 100 pondok telefon awam di bandar raya ini dihiasi dengan lukisan yang menarik seperti otak manusia.

Terdapat juga pondok telefon itu yang mempunyai hiasan yang unik seperti replika kincir angin.

Hiasan lukisan itu dibiayai oleh sebuah syarikat telefon tempatan.

Beberapa penduduk turut mengambil kesempatan dengan bergambar beramai-ramai di pondok tersebut.

- Agensi

Minggu, 20 Mei 2012

Zuckerberg berkahwin dengan kekasih Cina


SAN FRANCISCO, Amerika Syarikat (AS) - Pengasas laman sosial Facebook, Mark Zuckerberg melangsungkan perkahwinan dengan kekasihnya, Priscilla Chan kelmarin.

Majlis tersebut dihadiri sekitar 100 tetamu di kediaman Zuckerberg di Palo Alto, California.

Ia berlangsung sehari selepas Facebook membuat Tawaran Awam Awal (IPO) bagi menjual sahamnya di pasaran terbuka.

Zuckerberg, 28, memberikan sebentuk cincin batu delima kepada Chan, 27.

Para tetamu menjangkakan menghadiri majlis sambutan hari graduan Priscilla, tetapi mereka dikejutkan dengan majlis perkahwinan itu.

Antara tetamu yang hadir termasuk Ketua Pegawai Operasi Facebook, Sheryl Sandberg.

Pada majlis yang diadakan secara tertutup itu, Zuckerberg memakai sut biru gelap dengan kemeja putih dan bertali leher.

Chan memakai gaun perkahwinan berwarna putih.

Pasangan tersebut kini menukar status mereka di Facebook sebagai 'sudah berkahwin'.

Persediaan perkahwinan itu dirancang selama beberapa bulan kerana Zuckerberg menunggu Chan menamatkan pengajian dalam bidang perubatan di Sekolah Perubatan San Francisco, Universiti California.

Zuckerberg yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Facebook mula berkenalan dengan Chan di Universiti Harvard, AS pada tahun 2004.

Menurut profil Chan, dia merupakan graduan Universiti Harvard pada tahun 2007.

Dia kemudian melanjutkan pelajaran dalam bidang sains di Sekolah Harker, San Jose sebelum mengikuti pengajian dalam bidang perubatan.

Profil itu turut menyatakan wanita berbangsa Cina-Amerika itu suka memasak.

- Agensi

Sabtu, 19 Mei 2012

Chelsea Juara Piala Liga Juara-Juara 2012


MUNICH - Pengurus Chelsea, Roberto Di Matteo berjaya membuktikan kredibiliti beliau selaku pengendali yang hebat sebaik membantu pasukan itu menjulang trofi Liga Juara-Juara.

Awal pagi semalam, The Blues berjaya menamatkan kemarau trofi Liga Juara-Juara apabila menewaskan Bayern Munich 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti di Allianz Arena.

Sebelum ini, nasib malang The Blues yang dilihat agak hambar pada permulaan musim ini di bawah kendalian Andre Villas- Boas, ternyata berubah sebaik menerima sentuhan Di Matteo, 41, pertengahan Mac lepas.

Namun, tidak mustahil aksi final semalam merupakan perlawanan terakhir Di Matteo sebagai pengendali sementara The Blues memandangkan pemilik kelab, Roman Abramovich dilaporkan begitu ghairah mahu mendapatkan pengurus baharu yang lebih terkenal musim depan.

"Kadang-kadang bola sepak boleh membuatkan anda menjadi gila. Tidak ada sesiapa yang menyangka kami mampu muncul juara musim ini.

"Bagi saya, ia penamat yang cukup sempurna," kata Di Matteo.

Menurut beliau: "Kami hanya melakukan yang terbaik untuk menang.

"Kami berjaya melakukannya meskipun tanpa empat pemain utama, sebabnya memang kami layak muncul juara."

Pada masa sama, Di Matteo juga enggan mengulas mengenai masa depannya di Stamford Bridge meskipun mendapat sokongan majoriti pemain terutama kapten, John Terry yang mahu- kan beliau kekal sebagai pengurus.

"Ia tidak penting sama ada saya kekal ataupun tidak.

"Sejujurnya, saya gembira dengan peranan yang diberikan dan menerima apa jua keputusan mengenai nasib saya selepas ini," katanya.

Rakan sejawatannya di Bayern, Jupp Heynckes juga memuji kredibiliti yang dimiliki Di Matteo.

"Jika saya Abramovich, saya akan menawarkan kontrak selama tiga tahun lagi buat Di Matteo," katanya.

- Reuters

Top