Rabu, 23 Mei 2012

Laman sold.my : Strategi membida penting untuk menang


SUASANA ruang makan Restoran Gecko di Damansara Perdana, Selangor bermula agak tenang pada suatu petang bulan lalu.

Bagaimanapun, sebaik sahaja pengira detik (countdown timer) mula menghampiri angka sifar, orang ramai mula berteriak bagi merangsang para peserta.

Seramai empat orang yang terdiri daripada pihak media dan para blogger kelihatan gemuruh menekan butang yang terdapat pada laman web Sold.my.

Semua berebut mahu membeli sebuah telefon bimbit iPhone 4s dengan harga murah. Hanya dalam beberapa saat, salah seorang peserta acara yang seakan-akan sebuah lelongan itu berjaya membeli telefon pintar Apple terbaharu pada harga 60 sen.

Sold.my merupakan rangkaian laman web Sold.sg yang dilancarkan pada bulan Julai 2010. Sebaik berada dalam alam maya, ia telah menjadi pendahulu laman web membeli-belah di Singapura. Setakat ini, seramai 50,000 ahli telah menjadi pendaftar laman web Sold.sg.

Berbeza dengan laman web membeli-belah atau perdagangan lain seperti Mudah.my dan Disini.my, Sold.my memberi pendekatan yang berbeza untuk membeli-belah.

Selama ini, pelayar internet yang menggilai cara membeli dalam talian terpaksa akur dengan harga yang dipaparkan tetapi laman www.sold.my, para pelanggan mempunyai peluang menentukan harga yang mahu dibeli.

“Kami hanya mahu pelayar internet dapat berbelanja dengan cara yang amat mengujakan,” kata salah seorang daripada pengasas Sold.my, Angeline Tham.

Harga rendah

Pembeli boleh mendapatkan produk yang diingini pada harga yang amat rendah iaitu dengan potongan antara 60 hingga 95 peratus daripada harga asal.

Barang-barang dagangan pula merupakan produk-produk elektronik terkini telefon bimbit, kamera digital dan pembuat kopi selain baucer restoran serta tiket penerbangan ke lokasi menarik.

Sehingga kini, lebih 12,000 orang pengunjung telah berdaftar dengan Sold.my sejak ia dilancarkan pada bulan November 2011.

Pelayar Internet hanya perlu mendaftarkan diri terlebih dahulu dan token harus dibeli untuk membuat bidaan harga nanti.

Setiap token berharga RM1.50 dan boleh digunakan untuk satu bidaan. Caranya sangat mudah, pembeli hanya perlu memilih produk yang diingini.

Apabila proses bidaan bermula, terdapat beberapa ciri yang ada pada muka laman bidaan iaitu gambar produk dan beberapa pemberitahuan seperti tempoh membida, status mula dan penutup pembidaan, harga terakhir serta nama pembida.

Setiap proses bidaan diberi satu tempoh masa iaitu tiga minit. Dalam tempoh tersebut, pembida boleh membida sebanyak mungkin dengan menekan butang Bid.

Satu bida akan menaikkan harga produk sebanyak 15 sen menjadikan sebuah produk boleh berharga semurah harga itu. Token yang dibeli akan ditolak secara automatik.

Selain itu, setiap satu bidaan yang dibuat, jangka masa bidaan akan ditambah sebanyak 20 saat.

Sebaik sahaja masa sesi membida tamat dan tiada penambahan masa, harga terakhir akan menjadi milik Soldger (pembida) tertinggi tersebut.

Jika terdapat dua orang pembida yang membida pada harga tertinggi yang sama, masa tambahan selama 20 saat ditambah sehingga seorang pembida tertinggi didapati.

Terma Soldger digunakan kepada pelayar internet yang menyertai acara membida dalam laman web Sold.my.

Kaedahnya kedengaran sangat mudah tetapi jika diteliti, amat sukar untuk seseorang pembida berjaya memenangi sesebuah produk terutama gajet-gajet terkini seperti telefon pintar berjenama iPhone.

Selain bersaing dengan ramai pembida, faktor ketepatan masa bidaan juga menjadi penentu.

Tip berguna

Pengasas bersama Sold.my, Qiuyan Tian, 28, berkata, terdapat beberapa tip dan strategi yang boleh digunakan untuk memenangi sesebuah produk.

“Jangan bida ketika penunjuk masa masih lagi menunjukkan tempoh tiga minit. Mula membida pada 20 saat terakhir.

“Ia amat merugikan kerana sudah pasti akan ada soldger lain yang dapat menyaingi harga bidaan anda selain jangan letak semua token yang ada untuk satu produk sedangkan tempoh bidaan masa panjang,” ujarnya lagi.

Pastikan ketika proses membida, anda mempunyai jumlah token yang mencukupi kerana ia akan mengganggu ketika saat-saat akhir membida dibuat.

Selain itu, kata Qiuyan, amat penting untuk mengetahui latar belakang pesaing ketika membuat pembidaan kerana pembida boleh menilai tahap keseriusan dan kecekapan seseorang itu membuat pembidaan.

Bagi meningkatkan lagi peratusan untuk memenangi sesuatu produk, para pelayar internet dinasihat supaya memilih barang-barang yang kurang popular dan jarang mendapat perhatian ramai. Strategi tersebut boleh mengurangkan jumlah pesaing.

Jika itu tidak memadai, terdapat satu lagi cara yang boleh digunakan bagi memastikan seseorang soldger itu sekurang-kurangnya dapat memenangi sesuatu barangan dalam laman web Sold.my.

Dalam penerangan yang diberikan oleh Angeline, para pembida boleh menggunakan aplikasi yang ada dalam laman web tersebut dikenali sebagai Auto-Bidder.

Auto-Bidder membolehkan jumlah bidaan dibuat secara automatik mengikut kehendak pelayar internet. Ada tiga tetapan (setting) yang berbeza mengikut kehendak pembida iaitu tahap bida terendah (Lower Bid Limit), tahap bida tertinggi (Upper Bid Limit) dan bilangan bida (Number of Bids).

“Pembida hanya perlu set harga bidaan terendah pada seting Lower Bid Limit supaya ia boleh mula dibida secara automatik apabila sampai harga yang ditetapkan,” terang Angeline.

Harga maksimum

Seting Upper Bid Limit membolehkan bidaan yang dilakukan secara automatik berhenti sendiri apabila harga maksimum yang dimahukan pembida dicapai.

Number of Bids pula membolehkan Soldger menetapkan bilangan token maksimum yang mahu digunakan dalam satu proses bidaan.

Ketiga-tiga Auto-Bidder boleh digunakan serentak. Sebagai contoh, jika bida terendah diset pada harga RM2 dan bida tertinggi pula pada RM4.50 manakala bilangan token pula sebanyak 25 keping.

Ia akan mula beroperasi secara automatik apabila harga sudah mencapai RM2 dan berhenti membida tatkala melepasi RM4.50 dengan bilangan token yang telah dibuat iaitu 25 keping.

Aplikasi itu juga hanya akan berfungsi secara rawak dalam tempoh 10 saat terakhir sebelum tempoh masa bidaan ditutup.

Akhir sekali, Angeline mengingatkan pelayar internet supaya fokus pada sebuah produk dalam satu-satu masa selain memiliki jumlah token yang mencukupi sepanjang tempoh bidaan.

Tambah Qiuyan, kepada mereka yang masih lagi gagal untuk memenangi sebarang produk walaupun sudah mempraktikkan semua tip dan strategi yang diberikan, para pembida boleh membida produk untuk Beginner.

Produk-produk untuk Beginner akan diberi tanda plat L yang terletak pada hujung bahagian atas kotak produk. Ia dikhas kepada para pembida yang tidak pernah memenangi sebarang acara bidaan sebelum ini.

Sebaik sahaja seseorang itu berjaya memenangi sesuatu, Beginner secara automatik tidak boleh diakses.

Sementara itu, Angeline berkata, pihaknya mendapat keuntungan melalui penjualan token dan idea untuk membawa produk berupa gajet terkini dapat menarik perhatian orang ramai.

Mengikut rekod pengurusan Sold.my, terdapat beberapa produk dapat dijual pada harga yang sangat murah seperti komputer riba jenama Apple pada harga RM18.70, telefon bimbit iPhone (RM25.90) dan telefon BlackBerry (RM44.30).

Perlu diingatkan kepada para pemenang, pembayaran setiap hadiah yang berjaya dibeli wajib dibuat dalam tempoh 14 hari daripada tarikh kemenangan. Jika tidak, kemenangan secara automatik akan terbatal.

- KOSMO!

0 komentar:

Posting Komentar


Top