Minggu, 03 Juni 2012

Rakyat Britain mahu sistem beraja dikekal


LONDON 2 Jun - Tinjauan di Britain mendapati 80 peratus rakyat Britain mahu sistem pemerintahan beraja dikekalkan, ketika negara itu hari ini menyambut Jubli Intan sempena 60 tahun pemerintahan Ratu Elizabeth II, yang akan berlangsung selama empat hari.

Sambutan itu diadakan ketika keluarga diraja Britain mendapat sokongan tertinggi dalam tempoh beberapa dekad dengan tinjauan terbaru menunjukkan 80 peratus rakyat Britain mahu mengekalkan sistem pemerintahan beraja.

Berjuta-juta rakyat Britain meraikan sambutan Jubli Intan itu dengan mengadakan parti di kediaman masing-masing.

Sambutan itu diserikan dengan pelbagai aktiviti termasuk pertunjukan 1,000 bot serta konsert penyanyi terkemuka.

Ratu Elizabeth II merasmikan temasya itu dengan menyaksikan lumba kuda, di Epsom Derby, aktiviti kegemarannya, sebelum dijadual menaiki kapal di Sungai Thames dengan diiringi flotila gergasi esok.

Sejuta orang dijangka berbaris di tepi sungai untuk menyaksikan pertunjukan bot wap, bot laju, bot tunda dan kapal-kapal sejarah yang menakjubkan.

Satu konsert berlatar belakangkan Istana Buckingham yang menampilkan Paul McCartney dan beberapa penyanyi terkenal lain dijadual diadakan pada Isnin ini sebelum temasya itu diakhiri dengan perarakan besar-besaran pada Selasa ini.

- AFP

0 komentar:

Posting Komentar


Top